Related Posts with Thumbnails
RSS
email

Tarawih





Hukum Sembahyang Tarawih:

  • Hukumnya sunat Muakkad (yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan samada secara berseorangan atau berjamaah.
  • Sunnat dikerjakan di masjid, surau dan perhimpunan besar umat Islam
Waktu Sembahyang Tarawih:

  • Waktu sembahyang Tarawih ini ialah selepas menunaikan sembahyang Fardhu Isya'
Rakaat Sembahyang Tarawih:

  • Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan sembahyang Tarawih ini sebanyak 20 rakaat, tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar 8 rakaat sahaja
  • Pada zaman Rasulullah s.a.w. sembahyang Tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat saja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan
  • Pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab pula beliau menambah lagi menjadikan 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan sembahyang sebanyak itu
Pada malam 16 hingga akhir Ramadhan adalah sunat dibaca Qunut pada rakaat yang akhir solat sunat Witir. Lafaz Qunut di sini sama juga dengan lafaz Qunut sembahyang Subuh. Dan jika tidak membaca Qunut ini adalah disunatkan Sujud Sahwi.

Terawih 20 rakaat atau 8 rakaat?

Ia adalah isu khilafiyyah semata-mata. Berlapang dadalah bagi yg berpegang kepada pendapat bahawa Terawih berjumlah 8 rakaat. Dan berlapang dada jugalah bagi yg berpegang kepada pendapat bahawa Terawih berjumlah 20 rakaat. Tidak timbul isu bid'ah kerana kedua-dua pendapat ini dipayungi oleh nas warisan Nabi s.a.w..

Pendapat 20 rakaat:

Hadis Yazid bin Ruman;

كان الناس يقومون في زمن عمر في رمضان بثلاث وعشرين ركعة

Maksudnya;
“Manusia sentiasa mendirikan (solat tarawih) dalam bulan ramadhan di zaman Omar sebanyak 23 rakaat"
(Muwatta’ Imam Malik : 1/342 : hadis no : 233)

Hadis Ibni Abbas;

أن النبي صلّى الله عليه وسلم كان يصلي في شهر رمضان عشرين ركعة

Maksudnya;
“Sesungguhnya Nabi SAW sentiasa menunaikan solat dalam bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat"
(Musannif Ibni Ibni Syaibah : 2/285 : hadis no : 227 (1))

Dari hadis-hadis yang dinyatakan di atas, didapati bahawa, Baginda SAW beserta sahabat-sahabat menunaikan solat Terawih dengan bilangan 20 rakaat. Walau bagaimanapun, ulama fiqh ada menyatakan kadar bilangan solat Terawih seperti berikut;

  • kebanyakkan ulama menyatakan, berdasarkan kepada amalan Muhajirin dan Ansar, solat Terawih ditunaikan dengan bilangan 20 rakaat.
  • Di zaman Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, solat tarawih di tunaikan dengan bilangan 36 rakaat tanpa disertai solat witir. Pendapat ini diamalkan oleh ahli Madinah qadim. (Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh : 2/251)
Pendapat 8 rakaat:

Golongan ini mendakwa bahawa, Rasulullah SAW tidak pernah melebihi bilangan rakaat solat tarawih dari 11 rakaat.

Sandaran mereka dalah hadis seperti berikut;

عن أبي سلمة بن عبد الرحمن أنه سأل عائشة رضي الله عنها كيف كانت صلاة رسول الله صلى الله عليه وسلم في رمضان فقالت : ما كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يزيد في رمضان ولا في غيره على إحدى عشرة ركعة

Maksudnya;
“Daripada Abi Salamah bin Abd Ar-Rahman, sesungguhnya dia bertanya Aisyah r.a.; bagaimanakah solat Rasulullah SAW dalam bulan Ramadhan? Menjawab Aisyah RHa; Rasulullah SAW tidak pernah melebihkan dari 11 rakaat dalam bulan Ramadhan dan yang lain darinya"
(Muwatta’ Imam Malik : 1/355 : hadis no : 243)


Hadis yang diriwayatkan oleh Imam muslim dan Ibnu Abi Syaibah:

كانت صلاته في شهر رمضان وغيره ثلاث عشر ركعة بالليل منها ركعتا الفجر

Maksudnya;
“Solat (nabi SAW) didalam bulan Ramadhan dan lainnya pada waktu malam adalah 13 rakaat. 2 rakaat daripadanya (yakni daripada 13 rakaat) tersebut adalah solat fajar"
(Sunan Al-Kubra lil Baihaqi : 3/7)


Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan lainnya;

عن جابر بن عبد الله رضي الله عنه قال : صلى بنا رسول الله صلى الله عليه وسلم في شهر رمضان ثمان ركعات وأوتر فلما كانت القابلة اجتمعنا في المسجد ورجونا أن يخرج فلم نزل فيه حتى أصبحنا ثم دخلنا فقلنا يا رسول الله اجتمعنا البارحة في المسجد ورجونا أن تصلي بنا فقال : إني خشيت أن يكتب عليكم

Maksudnya;
“Daripada Jabir bin Abdillah RA berkata; Rasulullah SAW solat bersama kami dalam bulan Ramadhan sebanyak 8 rakaat dan juga melakukan witir. Ketika kedatangan hari selanjutnya, kami berhimpun dalam masjid dan kami berharap agar Baginda SAW keluar (untuk menunaikan solat tarawih). Didapati Nabi SAW tidak keluar hinggalah kami berpagi-pagi berjumpa dengan Nabi SAW lalu kami berkata; Ya Rasulullah SAW, kami berhimpun semalam didalam masjid, dan kami berharap agar kamu solat solat bersama kami. Lalu bersabda Nabi SAW; sesungguhnya aku bimbang (solat tarawihh itu) diwajibkan ke atas kamu"
(Al-Mu’jam As-Saghir Li At-Tabarani : 2/127 : hadis no : 526)


Dari beberapa hadis yang dinukilkan, didapati bahawa, perbuatan Rasulullah SAW menunaikan solat ramadhan adalah tidak melebihi dari 11 rakaat. Ianya memberi maksud, 8 rakaat untuk solat tarawih dan 3 rakaat berbaki adalah solat witir.

Hadith Fadhilat Terawih:

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik, media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r. a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut,

Malam Pertama:
Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.
Malam Ke 2:
Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang tarawih serta kedua ibubapanya (sekiranya mereka orang beriman).
Malam Ke 3:
Berseru Malaikat di bawah 'Arasy' supaya kami meneruskan sembahyang tarawih terus-menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.
Malam Ke 4:
Memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
Malam Ke 5:
Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidilharam, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.
Malam Ke 6:
Allah kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Ma'mur (70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
Malam Ke 7:
Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi 'Alaihissalam menentang musuh ketatnya Fi'raun dan Hamman.
Malam Ke 8:
Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim 'Alaihissalam.
Malam Ke 9:
Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhamad S.A.W.
Malam Ke 10:
Allah Subhanahuwata'ala mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan akhirat.

Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah (6 Kitab hadith mu'tabar iaitu Sahih al-Bukary, Sahih Muslim, Sunan Ibn Majah, Sunan Abi Daud, Sunan at-Tirmidzi dan Sunan an-Nasa'i) dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Oleh itu, berhati-hatilah.


“Sesiapa yang berdusta ke atasku (menggunakan namaku) dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.”
(Riwayat al-Bukhari, Muslim).

Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak dan Selamat Berterawih



Bookmark and Share

0 comments:

Post a Comment