Related Posts with Thumbnails
RSS
email

Saya sangat marah!!!

Apakah itu marah?

  • Marah adalah sejenis emosi semula jadi yang biasanya bersifat NEGATIF
  • Marah boleh bersifat dari sedikit keresahan hingga menjadi ganas dan tidak terkawal
  • Marah secara umumnya boleh diterima masyarakat tetapi bukan marah yang tidak terkawal

marah

Apa yang berlaku apabila anda marah?

  • Degupan jantung meningkat
  • Tekanan darah meningkat
  • Pernafasan menjadi cepat dan pendek
  • Mengalami ketegangan otot-otot
  • Paras hormon (adrenalina dan noradrenalin) meningkat menyebabkan pergerakan badan terasa kuat dan pantas

Bagaimana perasaan marah timbul?

Perasaan marah akan tercetus apabila berlaku gangguan yang berpunca daripada seseorang, sesuatu peristiwa atau kebimbangan dalam hidup anda.

Kemarahan boleh berpunca dari faktor luaran apabila seseorang atau suatu peristiwa yang menyebabkan anda berasa gelisah dan seterusnya merasa terancam.

Kemarahan boleh berpunca dari dalam diri anda sendiri apabila memikirkan atau teringat sesuatu peristiwa yang menyebabkan anda rasa marah.


Kenapa anda merasa marah?

Anda terasa marah apabila tidak dapat mengawal atau menggubah sesuatu yang anda benci. Perasaan benci mengakibatkan keresahan dan ini merupakan perasaan marah yang sederhana.

Tuntutan atau permintaan di luar batas kemampuan anda untuk melaksanakannya akan mencetus keadaan marah yang lebih teruk.

Contoh: Hadir lewat ke sekolah sudah amat meresahkan dan membimbangkan, apatah lagi terkandas di dalam kesesakan jalan raya yang menyebabkan kelewatan hadir di sekolah akan menambahkan lagi tahap kemarahan. Memburukkan lagi keadaan, bayangkanlah anda terlewat untuk menduduki peperiksaan.

Bagaimana cara anda menilai sesuatu keadaan yang menentukan perasaan marah anda. Perasaan marah akan menjadi lebih teruk jika mempunyai anggapan negatif dan tidak rasional.


Apakah kebiasaan punca kemarahan?

  • Dicederakan
  • Ditipu
  • Dipanggil dengan gelaran yang mengaibkan
  • Terbiar tanpa diendahkan
  • Hilang upaya mengawal
  • Keadaan tertekan dan tuntutan di luar kemampuan

Adakah satu kebiasaan bila dilanda perasaan marah?

Perasaan marah adalah suatu emosi yang normal serta reaksi tindak balas semula jadi terhadap sebarang ancaman dan ketidakselesaan.

Di kala menghadapi ancaman, kemarahan berupaya menjadikan seseorang bertenaga untuk melawan atau mempertahankan diri.

Oleh yang demikian perlu mempunyai perasaan marah yang terkawal demi untuk kebaikan diri sendiri.


Kenapa perlu mengawal perasaan anda?

Undang - undang dan etika sosial telah menetapkan batasan untuk membolehkan anda meluahkan perasaan marah anda. Ingkari ketetapan berkenaan akan mengakibatkan anda melanggar undang - undang dan tersisih dari masyarakat.

Apabila perasaan marah tidak diuruskan dengan sewajarnya, seseorang boleh mengalami luka secara fizikal dan emosi akibat tindak balas orang lain, sekiranya keadaan berlaku suasana perasaan marah yang tidak terkawal.


Apakah kesan marah kepada anda?

Selain sebagai keselamatan, marah juga boleh membahayakan diri anda sendiri.

Marah akan mendorong anda bertindak secara ganas dan mengikut kehendak hati semata- mata dan ini akan mengakibatkan kecederaan berlaku kepada orang ramai, termasuk diri anda sendiri.

Perasaan marah yang dipendam akan juga mengundang masalah, terutama sekali berkaitan dengan jalinan perhubungan.

Seseorang yang tidak meluahkan perasaan marah secara terbuka akan menjadikan dirinya:

  • Bersifat negatif
  • Suka mengkritik
  • Bersifat mengejek/ Suka menyindir
  • Bersifat ganas

Bagaimanakah anda menerima kesan buruk akibat perasaan marah anda?

Kecederaan fizikal dan emosi yang anda lakukan terhadap orang lain akan menyebabkan anda terasa bersalah dan seterusnya menyakitkan hati anda sendiri, ataupun menyebabkan tindakbalas daripada orang lain (contoh: mereka mencederakan anda kembali).

Perasaan marah yang berpanjangan boleh menyumbang kepada penyakit darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit angin ahmar (strok).

Gangguan psiko logikal boleh berlaku akibat perasaan marah yang terlalu kerap dan teruk.


Bagaimana anda boleh menangani kemarahan anda?

3 cara yang anda boleh lakukan iaitu:

  • Meluahkannya
  • Menahannya
  • Menenangkan diri

Bagaimana anda meluahkannya?

Meluahkan perasaan marah anda dengan secara wajar (tegas, yakin dan terkawal) adalah cara yang paling terbaik dan berkesan.

Untuk melakukannya, anda perlu tahu bagaimana cara untuk meluahkan apa yang anda rasai sejelasnya, apa kehendak anda dan bagaimana untuk memenuhinya tanpa mencederakan orang lain.

Bertindak tegas bukan bermaksud bersikap menolak atau terlalu menuntut; ia bermaksud menghormati diri anda sendiri dan orang lain.


Bagaimana anda menahannya?

Anda boleh menahannya dengan tidak memikirkan perkara berkaitan dan memalingkan pemerhatian anda terhadap hal lain. Tujuannya adalah untuk mengubahkan perasaan marah anda kepada perilaku anda yang lebih membina.

Bahaya yang timbul akibat menahan kemarahan ialah ianya boleh menjejaskan diri anda sendiri. Dalam hal ini anda berkemungkinan boleh mendapat penyakit darah tinggi, sakit gastrik, sakit badan atau mengalami kemurungan.


Bagaimana untuk menenangkan diri anda?

Anda boleh menenangkan diri anda dengan mengawal perilaku luaran dan tindak balas dalaman anda:

  • Panjangkan serta perlahan kan tarikan nafas anda
  • Perlahan kan atau hentikan pergerakan anda supaya kadar degupan jantung anda dapat diturunkan
  • Kendurkan atau legakan otot-otot anda
  • Kenal pasti pemikiran anda yang negatif dan tidak rasional, kemudian cuba alihkan kepada pemikiran positif dan membina
  • Kenal pasti pemikiran yang positif dan juruskan pemerhatian terhadapnya
  • Berjenaka untuk menghilangkan perasaan marah
  • Beralih dari persekitaran dan sumber yang menyumbang kepada perasaan marah anda

Apakah yang boleh anda lakukan untuk mencegah daripada marah?

Kenali diri anda sendiri. Buat catatan pemantauan dalam buku mengenai bila dan bagaimana anda dilanda perasaan marah dan cara anda mengatasinya. Apabila anda telah mengenali diri anda, anda mampu melakukan perkara - perkara yang dapat mengurangkan kemungkinan anda menjadi marah.

Dari buku catatan anda akan dapat mengetahui:

  • Cara yang paling berkesan untuk menangani kemarahan anda
  • Situasi bagaimana yang boleh menyebabkan anda berasa marah
  • Kategori orang yang boleh menyebabkan anda berasa marah
  • Anda boleh berlatih menangani kemarahan dengan kawan atau ahli keluarga supaya anda sentiasa bersedia mengatasi kemarahan apabila ianya benar- benar berlaku nanti
  • Kerap bersenam boleh mengurangkan kemungkinan anda mengalami perasaan marah dengan:
    • Memberi peluang untuk anda melepaskan tekanan dengan kerap
    • Membina daya ketahanan diri terhadap stres

Senaman / latihan kelegaan yang dilakukan dengan kerap boleh membantu mengurangkan cetusan kemarahan


Bagaimana menangani kemarahan orang lain?

Kenal pasti perasaan marah mereka.

Tenangkan diri anda.

Tinggalkan tempat tersebut jika anda rasakan keselamatan anda terancam.


Bagaimana mencegah orang lain menjadi marah?

Berwaspada terhadap hal - hal yang boleh menyebabkan orang lain marah

Elak lakukan perkara - perkara yang biasa membuat orang lain marah


Di manakah anda boleh mendapat pertolongan:

  • Ahli keluarga
  • Kawan
  • Guru
  • Kaunselor
  • Pakar Psikologi

Bookmark and Share

4 comments:

Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita said...

Kenapa marah sangat doktor? Marah pada siapa? Jangan marah pada pesakit sudah la...

REnungan sejenak....

ADA satu kisah yang biasa kita dengar daripada ustaz dan guru berkenaan hebatnya Saidina Ali mengawal perasaannya. Dalam satu peperangan, ketika bertempur dengan seorang musuh, beliau punya kesempatan bagi menghapuskan riwayat musuh, tetapi tiba-tiba musuh meludah ke mukanya.

Ketika mengangkat pedang untuk menetak musuh itu, tiba-tiba beliau berhenti seketika. Lalu musuh bertanya: "Kenapa kamu tidak bunuh saja aku?" Beliau menjawab: "Aku tidak ingin membunuhmu kerana perasaan marahku. Marah kerana engkau meludah ke mukaku...berperang kerana agama adalah kebenaran, tetapi berperang kerana marah adalah kerana nafsu." Tazkirah kali ini bukan hendak bercerita soal perang di medan jihad, tetapi adalah perang nafsu melawan panas baran. Lihat bagaimana hebatnya Saidina Ali mengendalikan perasaan beliau, walaupun berada dalam keadaan genting, beliau dapat membezakan antara tuntutan agama dan nafsu amarah.


Kerana bimbang bertindak tidak mengikut tuntutan agama, beliau sempat memberhentikan kelajuan kilauan tetakan pedang berkenaan kerana memiliki ketajaman rohani rabbani. "Ya Allah pilihlah kami bersama generasi hebat ini. Inilah generasi yang syaitan berputus asa menghadapi mereka. Selayaknya mereka menjadi peneroka dan pembina kecemerlangan." Lain pula halnya pada zaman kita yang serba 'hot' dan 'baran' ini. Bertindak ikut nafsu amarah, orang lain fikir kemudian, yang penting diri aku. Inilah perangai orang panas baran. Orang panas baran ini asyik hendak orang lain menjaga perasaan mereka, tetapi mereka dia tidak pula menjaga perasaan orang lain. Tidak salah untuk merasa marah, tetapi biarlah kena pada tempatnya, bukan kerana perkara kecil dan remeh. Selagi boleh bersabar, kita perlu sabar. Lebih besar ganjarannya apabila kita bersabar.

Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita said...

Sebenarnya panas baran, kepala angin, naik hantu yang disebabkan kesukaran menangani perasaan marah boleh menyebabkan seseorang itu hilang perasaan malu. Mereka sanggup bertindak di luar batasan dan tidak mustahil boleh mencederakan orang lain. Perasaan marah yang tidak terkawal boleh memusnahkan apa saja dan merasa orang di sekeliling mereka semua salah. Ada saja yang tidak kena.

Sifat ini ibarat bom masa yang akan meletup tanpa diduga, tempat dan mangsanya. Guru yang panas baran akan ditakuti dan digeruni anak muridnya. Malah, mereka akan takut untuk menegur guru itu walaupun membuat kesalahan ejaan pada papan hitam. Peniaga yang panas baran akan kehilangan pelanggan.

Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita said...

Suami yang panas baran akan menyebabkan perceraian. Ini disebabkan isteri tidak tahan kerana selalu kena marah dan kena pukul. Sikit-sikit naik angin dan perkara ini sudah semakin banyak berlaku. Masalah di tempat kerja dibawa ke rumah. Isteri yang panas baran pun akan memecahkan kerukunan rumah tangga juga. Asyik hendak marah tidak tentu pasal, ada saja yang tidak kena pada suami dengan mengungkit dan membanding dengan rumah tangga orang lain.


Apabila marah tidak kira tempat; kadang-kadang di pasar raya, depan orang ramai, majlis kenduri kahwin, parahlah isteri macam ini. Mak dan ayah yang panas baran akan ditakuti anak maka tidak wujud kemanisan dalam berkeluarga.

Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita said...

Anak takut hendak meluahkan masalah dan kemudian merasa tertekan. Sikap marah dan panas baran adalah antara pintu syaitan datang masuk ke pintu hati manusia. Nabi Muhammad s.a.w pernah berpesan tiga langkah mengatasi perasaan marah dan panas baran. Pertama, mengawal lidah iaitu berdiam diri dan mengubah posisi (misalnya, jika berdiri hendaklah duduk, kedua, dan ketiga, mengambil wuduk dan beristighfar serta membaca al-Quran.

Post a Comment