Assalamualaikum..
Sudah 2 minggu MH370 hilang dari radar manusia. Pencarian dari Laut Cina Selatan berpindah ke Selat Melaka. Sekarang ke koridor utara dan selatan. Masih tak berjumpa dengan sebarang petunjuk sahih bahawa pesawat berada di koridor selatan mahu pun koridor utara. Teknologi manusia mungkin mencerap pelbagai objek di lautan atau pun di darat, tapi teknologi Allah s.w.t. mengatasinya.
Kita mungkin cuba menafikannya dengan kejahilan dan kealpaan kita; tetapi Allah s.w.t. tidak pernah lupakan kita sesaat pun. Setiap perbuatan kita diperhatikan Allah s.w.t. dan dinilai setiap detik. Menginsafi keadaan itu sepatutnya bermula dari saat ini kita memulakan ekspedisi mencari siapa kita di hadapan Allah s.w.t. Saya yakin pada ketika kita menemukan kedudukan kita di hadapanNya, MH370 akan datang kepada kita.
Bukan mengajak untuk menimbang buah kelapa sambil bersila di atas 'tikar pandan terbang', tetapi bersujud di atas sejadah. :-) Saya rasa ramai agamawan Islam bersuara baru-baru ini apabila bermula kisah satu persatu musibah yg melanda Malaysia. Daripada wabak denggi yg tiba-tiba mengamuk, diikuti dengan kemarau yg mengeringkan empangan-empangan di seluruh Malaysia. Kemudian jerebu yang memadamkan penglihatan kita dan menyesakkan rongga hidung. Setelah itu pesawat MH370 tiba-tiba sahaja hilang dari radar dan pergi entah ke mana.
Saya ingin mengajak kita merenung sejenak kenapa Allah s.w.t. menurunkan musibah pada ketika kita sedang bahagia menikmati nama dan kedudukan tersohor? Saya rasa kerana nikmat itu telah membutakan mata hati kita untuk sentiasa beringat bahawa nikmat itu datangnya dari atas kehendak Allah s.w.t.
Maka Allah s.w.t. datangkan denggi. Kita lupa! Allah s.w.t tambahkan dengan kemarau. Kita masih lupa! Allah s.w.t. masih sayangkan kita, didatangkan pula jerebu. Dan kita masih lupa! Allah s.w.t. beri peringatan lagi! MH370 tiba-tiba hilang dari radar! Dan sebenarnya masih lupa di ketika itu. Maka Allah s.w.t. hantarkan seorang hambaNya dengan mengeluarkan kenyataan "Di mana sains berakhir, maka di situlah kuasa Allah bermula". Maka sebahagian dari kita pun tersentak dari tidur yang lena.
Kita pun mula bersolat hajat dan berdoa bercucuran airmata mohon diberi bantuan dari Allah s.w.t. Apakah kuasa doa itu sangat hebat? Jawapannya lihat sendiri. 14 Mac 2014 jemaah di Masjid Zahir, Kedah mengadakan solat sunat Istisqa'. Begitu juga di tempat-tempat lain seluruh Malaysia. Dan pada pagi 15 Mac 2014 hujan turun di Kedah, Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan diikuti negeri-negeri lain selepas itu. Bukankah sudah cukup buktinya?
Saya yakin kehilangan MH370 yg masih tidak dijumpai setakat 23 Mac 2014 ini disebabkan kita masih lagi tidak benar-benar ikhlas kembali kepada Allah s.w.t. Apabila kita masih menganjurkan konsert yg disertai oleh dadah ketika umat Islam lain sedang merintih 'memujuk' Allah s.w.t. mengampunkan dosa-dosa kita. Maka akibat dari murka Allah s.w.t. itu, 6 nyawa diragut sebagai tanda 'hai manusia! berani benar kamu menderhakai Aku!!'.
Umat Islam masih lagi berusaha berdoa kepada Allah s.w.t. agar diberikan bantuan mencari MH370. Kita menganjurkan selawat perdana dan berdoa bersama-sama dengan keturunan Nabi s.a.w. pada malam itu. Ada yang bercucuran airmata meminta sesungguhnya. Dan pada malam ini 24 Mac 2014, Allah s.w.t. memberi jawapan kepada kita di mana MH370.
"MH370 flew along the southern corridor and last position was in the middle of Indian Ocean.. MH370 ended in the southern Indian Ocean..."
Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Selamat kembali kepada Pencipta kepada semua yg berada di dalam pesawat. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kalian. Janji Allah itu benar...