Related Posts with Thumbnails
RSS
email

Keimanan yg melemahkan Syaitan


Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada Umar r.a.,

“Demi diriku di tangan-Nya, tidak ada suatu pun jejak langkah perjalanan yang ditemui oleh syaitan melainkan syaitan akan memanjangkan langkahnya (untuk mendapatkan yang empunya jejak langkah), melainkan jejak langkahmu.”

Hadis ini direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Saad ibnu Abi Waqqas.

Berkata Hafiz ibnu Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarah hadis ini, “Hadis ini mencatatkan kelebihan yang besar yang dimiliki oleh Umar ibnu al-Khattab r.a., menunjukkan bahawa syaitan tidak ada jalan untuk menjajah dirinya. Itu menunjukkan ada padanya keunggulan pertahanan diri sehingga tidak ada cara yang terbaik bagi syaitan melainkan terpaksa mengelak dari melibatkan diri menyusuri perjalanan bersama-sama sahabat itu tadi. Meskipun begitu, tiada halangan bagi syaitan melemparkan perasaan was-was terhadapnya mengikut kadar kemampuan yang ada. Kalau pun ada yang mengatakan syaitan sememangnya tidak mampu langsung menguasai diri sahabat tersebut termasuklah melemparkan was-was kepadanya, ianya mungkin berdasarkan kaedah “mafhum mukhalafah” yakni kefahaman di sebalik kenyataan asal. Ertinya, ‘kalaulah syaitan terlaknat itu mempunyai halangan untuk menyusuri laluan perjalanan Umar r.a., apatah lagi terhadapnya’. Dengan itu, ternyatalah beliau terpelihara daripada gangguan syaitan.”

Pernah suatu ketika, Imam Ahmad ibn Hanbal berada dalam masjid, tiba-tiba datang seorang wakil pemerintah memberitahunya bahawa seorang hamba perempuan telah dirasuk jin. Lalu dia meminta Imam Ahmad memulihkannya supaya sembuh. Imam Ahmad kemudiannya mengeluarkan sepasang sandal kayu yang bertali (untuk kegunaan berwuduk) lalu diserahkan kepada utusan tersebut seraya berkata, “Kau masuklah ke dalam istana, kemudian duduklah di sisi kepala hamba itu, dan cakapkan kepadanya (jin) begini, ‘Imam Ahmad telah memberi kata dua kepadamu, yang mana kau lebih suka. Iaitu, kau keluar daripada tubuh orang ini, atau aku pukulmu dengan sandal ini sebanyak tujuh kali.’ ”

Maka kembalilah utusan itu ke istana dan melakukan sebagaimana yang disuruh. Lalu berkatalah jin itu melalui suara si hamba itu, “Baiklah, oleh kerana Imam Ahmad menyuruhku keluar, aku patuh sahaja. Kalaulah dia melarang aku daripada menetap di Iraq ini, aku akan turuti juga, oleh kerana dia begitu mentaati Allah. Barangsiapa yang mentaati Allah, nescaya aku akan akur terhadap apa sahaja suruhannya,” jin itu pun keluar daripada tubuh hamba itu, dan dia pulih seperti sediakala. Kisah ini dinukilkan oleh al-Qadi Abu al-Hussin di dalam kitabnya, “Thabaqat Ashabul Imam Ahmad.”

Salah seorang sahabat pernah bercerita, “Aku pernah membonceng di belakang Rasulullah s.a.w. mengenderai keldai. Tiba-tiba, sang keldai itu tergelincir lalu terpacul perkataan dari lidahku, ‘Bedebah syaitan!’ Lalu baginda bersabda,

“Jangan kamu berkata, ‘Bedebah syaitan,’ kerana kalau kamu berkata demikian, syaitan akan bertambah sombong dan bangga diri seraya berkata, ‘Ha-ha, aku berjaya menumpaskannya dengan kekuatanku.’ Akan tetapi kalau kamu berkata, ‘Bismillah,’ dirinya akan berasa cukup kerdil, bahkan lebih kerdil daripada lalat.”

Menurut Munziri r.h., hadis ini turut diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanadnya hasan.

Karya asal: Syeikh Wahid Abdul Salam Bali

Sumber: Komuniti Halaqah


Bookmark and Share

0 comments:

Post a Comment