Related Posts with Thumbnails
RSS
email
0

PPSMI

Untuk pertama kalinya saya merasakan bahawa dalam dunia blogging ini, kebanyakan blog yg mendapat rating tertinggi di kalangan pelawat adalah blog ahli politik atau pun politikus kampung yg berdegar-degar berbicara bab politik. Barangkali yg menarik sekali adalah blog-blog yg menghentam dasar-dasar kerajaan dan sebagainya.

Apa yg saya hendak utarakan di sini juga tersangkut sedikit tentang isu PPSMI yg terlalu hangat dibicarakan di Malaysia saban hari. Ya, keputusan sudah pun dibuat, dan bagi yg berusaha memansuhkannya sudah tentu gembira dan bagi yg menyokongnya sudah tentu terasa kecewa. Saya melawat blog mantan Perdana Menteri ke-4 iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Tujuannya untuk melihat pandangan beliau sendiri tentang isu ini. Melihat apa pandangan beliau sebagai pengasas dasar ini apabila melihat dasar yg dipeloporinya dimansuhkan di zaman beliau tiada berkuasa lagi. Dan saya mungkin sebahagian dari rakyat Malaysia yg kecewa dengan pemansuhan PPSMI.

Oleh itu kita baca sendiri ulasan Tun Dr Mahathir Mohamad; tanpa meletakkan sebarang rasa prejudis atau emosional:


1. Saya berasa amat sedih apabila membaca laporan berkenaan demonstrasi yang dipimpin oleh tokoh sastera Melayu menentang pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

2. Kononnya ini akan menidakkan kebolehan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam ilmu ini. Konon ia akan mengurangkan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

3. Kita harus ingat bahawa pelajaran bukan semata-mata untuk memaju atau mengembangkan bahasa. Pelajaran adalah untuk penguasaan ilmu, pelbagai jenis ilmu.

4. Yang boleh meningkatkan taraf dan kemajuan bahasa ialah matapelajaran bahasa itu sendiri dan diperingkat yang lebih tinggi mata pelajaran sastera.

5. Sains dan matematik tidak mungkin menolong kemajuan bahasa, khususnya bahasa Melayu.

6. Ini disebabkan bahasa sains dan matematik bukan daripada bahasa Melayu. Sebahagian besar daripada perkataan-perkataan dalam mata pelajaran ini adalah dalam bahasa Latin yang di-Inggeriskan.

7. Memang benar kita boleh Melayu-kan perkataan-perkataan ini, seperti juga kita Melayu-kan perkataan daripada lain-lain bahasa.

8. Memang boleh tetapi perkataan-perkataan sains bukan satu dua tapi beratus-ratus. Dan perkataan ini menjadi asas kepada perkataan yang mempunyai makna yang amat berlainan.

9. Umpamanya perkataan Oxygen (Oksigen) - satu jenis gas. Derivative (cabang) daripada perkataan ini adalah seperti berikut;

• Oxygenation

• Oxidation

• Oxide

• Oxidants

• Deoxydation

• Oxidise

• Oxidification

• Dioxide

• Monoxide

• Peroxide

10. Ini hanya bagi satu elemen daripada sebanyak 120 (118) elemen.

11. Tiap satu mempunyai banyak derivative. Tetapi ada perkataan-perkataan lain yang hanya untuk ilmu sains. Jika semuanya nak di-Melayukan, bahasa Melayu akan bertukar menjadi bahasa Inggeris, ejaan lain bunyi semacam. Sebenarnya ia bukan bahasa Melayu lagi.

12. Ilmu sains dan matematik bukan ilmu yang statik. Ilmu-ilmu ini berkembang sepanjang masa. Tiap hari ada hasil kaji selidik, penerokaan, ciptaan dan perluasan yang diperkenal melalui ratusan kertas-kertas yang ditulis.

13. Hampir semua ditulis dalam bahasa Inggeris. Untuk menterjemah tulisan ini kita perlu orang yang fasih dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan faham ilmu yang hendak diterjemah.

14. Kita ada beberapa kerat sahaja orang yang berkebolehan seperti ini. Itupun dalam dua tiga bidang sahaja. Orang yang layak seperti ini tidak berminat menjadi penterjemah seumur hidup. Apabila sains dan matematik diajar dalam bahasa Melayu, orang seperti ini tidak akan ada lagi. Bagaimanakah kita hendak ikuti perkembangan ilmu sains?

15. Sebaliknya kertas ilmiah akan terus dikeluarkan beratus-ratus lagi, semuanya dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain. Maka tanpa kebolehan menterjemah semua ilmu baru ini akan tertinggallah orang Melayu dalam bidang ilmu yang amat penting di zaman ini.

16. Kalau kita masih tidak dapat menerima kenyataan di atas, kaji sahaja jumlah Phd dalam bidang sains yang hanya belajar sains dalam bahasa Melayu dan tidak faham bahasa Inggeris. Berapa ramaikah daripada pakar dalam bidang perubatan yang hanya belajar dalam bahasa Melayu, tanpa buku dalam bahasa Inggeris sebagai buku teks.

17. Apakah penuntut luar bandar tidak dapat menguasai bahasa Inggeris?

18. Sekali lagi perhitungan perlu dibuat berkenaan jumlah mereka yang dari kampung yang memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan dan swasta kerana lulus dalam bahasa Inggeris dan mampu berhujah dalam bahasa berkenaan. Yang menentang PPSMI pun dari kampung juga tetapi dapat kelulusan bahasa Inggeris. Bahkan mereka sering berbahasa Inggeris.

19. Duta dan diplomat kita, berapa ramaikah yang hanya boleh bertutur kata dalam bahasa Melayu yang memegang jawatan penting dalam Kementerian Luar?

20. Pakar sains dan perubatan dan juga pegawai tinggi Kerajaan sering dikehendaki mengambil bahagian dalam persidangan antarabangsa. Apakah mereka dapat berhujah dan mengambil bahagian secara berkesan dengan mengguna hanya bahasa Melayu?

21. Saya bukan hendak memandang rendah bahasa bangsa saya sendiri. Tetapi saya perlu terima hakikat yang sebenar.

22. Bahasa sesuatu bangsa akan dipelajari oleh orang asing jika bangsa itu amat maju dan terkenal dengan ilmu yang dimiliki dan diterokai olehnya. Demikian sebelum abad ke-15 Masihi orang Eropah terpaksa belajar bahasa Arab kerana tamadun Islam pada masa itu gah dan amat dihormati. Tetapi selepas orang Islam ketepikan sains, ilmu perubatan dan hisab, orang Eropah tidak lagi mempelajari bahasa Arab. Sebaliknya orang Arab dan Islam terpaksa belajar bahasa Eropah.

23. Jika kita ingin bahasa Melayu digunakan dengan meluas kita perlu majukan diri kita dalam semua bidang terutama bidang ilmu dahulu. Sebelum daripada itu minat untuk belajar bahasa Melayu akan terhad kepada sekumpulan kecil sahaja.

24. Kita belajar sains dan matematik untuk memajukan bangsa kita supaya satu hari mungkin kita akan terkenal berkenaan dengan penerokaan dan kajiselidik oleh kita dan orang lain akan belajar bahasa kita untuk mendapat ilmu yang diteroka oleh kita.

25. Penguasaan ilmu amat penting bagi masa depan seseorang. Janganlah kita perjudikan masa depan anak orang kerana kononnya kita seorang nasionalis yang begitu sayang kepada bahasa kita. Sayang bahasa tidak boleh melebihi sayang bangsa. Mereka yang sayang bangsa mereka ingin lihat bangsa mereka maju, berilmu dan dihormati dunia. Hanya kerana boleh bertuturkata dalam bahasa sendiri tidak akan menjadikan bangsa kita dihormati dan disegani orang.

26. Akan rosaklah bangsa dan negara jika dasar negara ditentukan oleh orang yang berdemonstrasi. Lebih rosak lagi jika yang berdemonstrasi didalangi oleh politik pembangkang.

Tun Dr Mahathir Mohamad
Read more
1

Alhamdulillah...





Bila memasuki bulan Julai tahun ni, genaplah saya berada selama lebih kurang separuh tahun di Jabatan Perubatan Am, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah. Saya melangkah kaki ke jabatan ini pada penghujung Disember 2008 sebagai seorang house-officer (H.O) dan sekarang alhamdulillah saya sudah pun menjadi salah seorang Medical-Officer (M.O) di jabatan ini.

Sebagai lumrahnya, kerja di jabatan ini sentiasa dianggap sibuk. Kebanyakan doktor-doktor semahunya menolak untuk bekerja sebagai M.O. Medical. Kerana sudah dibiasakan dan dimomokkan dengan kisah-kisah kesibukan tahap petala lapan di jabatan ini. Saya juga pada mulanya terasa tension bila ditempatkan ke jabatan ini. Ditambah pula dengan pakar-pakarnya yg agak strict, membuatkan hari-hari pertama saya di jabatan ini diisi dengan luahan hati dan runtunan jiwa yg mahu ditukarkan ke jabatan lain secepat mungkin.

Pejam celik, pejam celik saya sudah separuh tahun di jabatan ini. Dan pada penghujung Jun yg lepas saya diberitakan dengan satu lagi berita yg membuatkan saya rasa terbeban di jabatan ni. Jabatan kami mempunyai tiga wad, satu Unit Rawatan Rapi Jantung (CCU) dan juga Unit Rawatan Rapi (ICU) dan High-Dependency Ward (HDW). ICU dan HDW sebenarnya di bawah jagaan Jabatan Anaesthesiologi, tetapi Jabatan Perubatan turut merawat pesakit di sana.

Ada 10 orang M.O yg betugas di jabatan saya. Setiap wad akan mempunyai 2 orang M.O yg menjaga dan seorang M.O bertugas untuk merawat pesakit di CCU, ICU dan HDW. Paling berat tugas adalah M.O yg menjaga pesakit di CCU, ICU dan HDW kerana pesakit di sana sangat kritikal dan terlalu tidak stabil. Jadi, kebanyakan dari kami yg menjadi M.O di jabatan ini semahunya mengelak dari menerima tugas sebagai M.O CCU, ICU dan HDW.

Itulah yg berlaku kepada saya. Suatu hari ketika sedang seronok bercuti di kampung, saya mendapat panggilan dari rakan M.O saya menyatakan rotation M.O ditukar lagi. Dan katanya saya ditempatkan di CCU, ICU dan HDW. Ketika itu, saya benar-benar menolak. Saya terasa hilang semangat untuk balik bekerja. Huhu. Teruk kan?

Tapi kata rakan saya rotation itu telah diluluskan oleh Ketua Jabatan. Saya bangkang semula dengan berkata kenapa tidak M.O lain? Haha. Katanya kerana saya yang paling lama bertugas di jabatan ini di kalangan Junior M.O Medical. Dengan penuh berat hati saya memaksa diri untuk terima hakikat itu. Sebahagian kerana saya tidak yakin untuk menguruskan pesakit yg sangat kritikal dan separuh lagi kerana saya tak sanggup bekerja dengan pakar saya yg menjaga CCU, ICU dan HDW. Beliau seorang yg sangat strict dan katanya tidak mesra. Saya tidak pernah lagi bekerja secara terus dengan beliau, kerana sebelum ini menjaga wad biasa saja.

Ketika masih bercuti itu, saya cuba menjadikan berita itu suatu yg positif. Saya memujuk diri supaya redha dengan ketentuan Allah swt sehebat mana pun saya mengelak, jika itulah kehendak Allah swt, maka itulah yg akan terjadi. Saya memujuk diri bahawa insyaAllah akan datang hikmahnya suatu hari nanti. Redhalah dengan ujian ini.

Akhirnya, saya berjaya mempositifkan minda saya. Habis bercuti, saya kembali ke sini dengan tenang untuk pertama kalinya bertugas di CCU, ICU dan HDW. Hari pertama berlalu dengan baik. Walau pun saya tidak tahu kes, rupanya pakar saya itu juga tidak tahu kes. Jadi, kami sama-sama duduk membaca fail kes. Suatu yg tidak saya jangkakan akan berlaku. Hehe.

Hari kedua juga berlalu dengan baik. Memandangkan kami sama-sama tahu kes, morning round kami selesai dalam masa 1jam setengah sahaja. Alhamdulillah saya sudah terbiasa dengan kehidupan saya yg baru sekarang ni. Saya tidak lagi kekok untuk bekerja di dalam CCU, ICU mahu pun HDW. Malah saya tidak pun terasa terbeban dengan tugasan harian saya menjaga pesakit yg sangat kritikal itu.

Akhirnya, saya sedar bahawa sekiranya kita memudahkan apa yg selalu kita fikir payah, maka ia akan menjadi mudah. Jika kita redha dengan kehendak Allah swt, kita akan dibantu oleh Allah swt untuk keluar dari masalah itu. Sentiasalah bersyukur dan redha. InsyaAllah suatu hari nanti kita akan nampak di mana hikmahnya ketentuan Allah swt itu. Baik buruk sesuatu perkara sudah Allah swt ketahui. Dan hanya Allah swt sahaja yg Maha Mengetahui apa yg terbaik untuk kita.

Alhamdulillah...


Read more
0

-Tiada tajuk-


Sudah lebih seminggu kita berada di dalam bulan Allah swt yg mulia ni. Begitu cepat masa berlalu, begitu banyak yg dibazirkan berlalu begitu sahaja tanpa dimanfaatkan dengan sebaiknya. Kelemahan manusia yg paling hina adalah tidak mempergunakan waktu yg berlalu dengan sebaiknya. Benarlah sumpah Allah swt di dalam al-Quran bahawa manusia itu sentiasa sahaja berada di dalam kerugian.

Melimpah ruah rahmat yg Allah swt hamparkan di depan mata kita untuk kita nikmati dan pergunakan sebaiknya. Tetapi kita selalu melupakan betapa besarnya rahmat yg Allah swt berikan dan lebih menghinakan kita lupa berulangkali kepada Zat yg mengurniakan rahmat itu. Dan berulang-ulangnya kita mengingkari rahmat-Nya, berulang-ulangkali juga Dia melimpahkan kita dengan rahmat-Nya lagi. Hingga kita tenggelam dalam lautan nikmat Ilahi, tetapi hati kita masih jua lalai dari-Nya.

Mata hati kita selalunya buta. Bila ada kebahagiaan yg ada di depan mata, kita tidak menghargainya. Bila ia mula lenyap dari pandangan, hati mula gelisah dan diri terasa tidak keruan. Menjadi manusia bersyukur bukan semudah ABC, tetapi tidak mustahil. Cuma kita sahaja yg perlu berfikir dan menilai diri sendiri, sebanyak mana pula penghargaan yg kita berikan kepada yg memberikan kebahagiaan.

p/s: Dah hilang idea...


Read more
0

Keadilan Allah swt




Suatu masa terdapat sebuah keluarga yg bahagia dan hidup dengan kesederhanaan. Ketaatan ahlinya kepada Allah swt dan Rasul-Nya tak pernah diabaikan. Ayahnya seorang petani yg menggunakan tulang empat kerat untuk mencari rezeki bagi menyara keluarganya. Keluarga ini mempunyai seorang anak lelaki yg masih kecil dan selalu bertanya kepada ayahnya itu dan ini. Dan sang ayah selalu ingin menyelitkan benih-benih iman ke dalam diri anak tunggalnya itu, menjawab dengan penuh hemah.

Suatu hari, sang anak melihat ayahnya bekerja di ladang. Peluh menitis membasahi pipinya dan terik panas matahari membakar dirinya. Namun, sang ayah masih kekal setia dengan bajaknya.

Sang anak berkata "Ayah, kenapa mesti membajak?"

Jawab ayahnya "Sebab kalau tak bajak, tanah ni keras.. susah pokok sayur ni nak tumbuh.."

Sang memegang sekepal tanah keras "Tapi kan pokok ni tumbuh dengan kuasa Allah?"

Sang ayah tersenyum melihat anaknya. Dia menghampiri anaknya dan memberikan seketul batu dan berkata "Simpan batu ni.. bila adik dah besar nanti, batu ni akan jadi berlian dengan kuasa Allah.."

Hari pun berlalu dan tahun berganti. Anak yg kecil membesar dan sang ayah semakin uzur. Namun batu hitam pemberian ayahnya masih disimpan. Dengan harapan akan bertukar menjadi berlian. Tapi, tiada apa yg berlaku. Batu itu tetap hitam seperti dulu. Tiada pun berlian yg keluar dari batu hitam itu.

Akhirnya dalam separuh rasa putus asa, anak itu melemparkan batu itu jauh-jauh ke tengah ladang ayahnya. Dia sudah hilang sabar menanti. Melihatkan tindakan anaknya itu, sang ayah menegur "Kenapa dibuang batu tu?"

Sang anak menjawab "Batu hitam tu, tetap batu hitam.. bukan berlian macam yg ayah janjikan dulu.."

Sang ayah tersenyum melihat anaknya itu.. katanya

"Anakku.. begitu kuat kepercayaanmu pada kata-kata ayah suatu masa dulu.. sehingga kamu simpan batu itu.. begitu kuat pegangan kamu kepada kata-kata ayah yg hanya manusia biasa ini.. tapi pernahkah kamu nilaikan sebesar mana kepercayaanmu kepada janji Allah? Kamu simpan batu itu kerana percaya pada kata ayah yg ia dengan kuasa Allah swt akan bertukar menjadi berlian, dan hari ini kamu buangkannya kerana kecewa batu itu Allah swt tidak tukarkan kepada berlian.."

"Anakku, sekuat mana kamu berpegang kepada tali Allah? Pernahkah kamu terfikir apakah yg lebih bernilai harganya dari sebutir berlian? Batu hitam yg ayah berikan itu mengajar kamu hari ini erti iman kepada Allah swt.. itu lebih berharga nilaiannya dari seketul berlian.. "

"Anakku, segalanya tidak pernah mustahil berlaku pada kekuasaan Allah swt.. tetapi keajaiban tidak akan berlaku kepada kamu yg menantikannya sahaja, tetapi keajaiban datang kepada mereka yg berusaha sambil bertawakkal kepada Allah swt.. tetapi keadilan Allah swt tiada tara bandingannya.. Dia tidak menukarkan batu itu kepada berlian kerana kamu tidak berusaha untuk menjadikannya berharga.. tetapi Dia tidak tinggalkan kamu dengan tangan kosong.. Dia berikan pengajaran tentang iman kepada kamu hari ini sebagai ganti berlian yg tidak Dia hadiahkan kepadamu.. itulah keadilan Allah swt.."


Read more